Monday, December 27, 2004

Polis Diraja Malaysia. Trafik

Polis Diraja Malaysia. Trafik

Ketua Polis Negara

Tidak ramai yang mengenali beliau sebelum ini, kerana beliau sering dikatakan sebagai 'low profile', walaupun jawatan yang dipegangnya sebelum ini merupakan jawatan-jawatan penting.
Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, namanya disebut-sebut bukan sahaja di kalangan warga PDRM, malahan di kalangan orang ramai.
Beliau ialah Dato' Seri Mohd. Bakri Hj. Omar, Ketua Polis Negara yang menggantikan Tan Sri Norian Mai yang bersara hari ini, 5 November 2003. Beliau dikenali sebagai seorang pegawai kanan polis yang amat tegas dan menitikberatkan disiplin di kalangan pegawai dan anggota bawahannya. Ciri-ciri kepimpinan ini telah mendatangkan rasa gerun dan hormat seluruh warga PDRM terhadapnya; di kalangan ahli masyarakat, mereka melihat beliau secara positif, iaitu sebagai pemimpin pasukan yang mampu berbuat sesuatu, khususnya dalam membimbing PDRM menurut aspirasi masyarakat.
Dato' Seri Bakri dilahirkan pada 10 September 1948 di Manjung, Perak.
Dengan berbekalkan kelulusan Sarjana Sastera, beliau telah memulakan perkhidmatan beliau sebagai Kadet Asisten Superintenden pada 1 Januari 1971, dan seperti kebanyakan pegawai lain, telah menjalani latihan asas kepolisan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL).
Beliau yang kini berusia 55 tahun pernah memegang beberapa jawatan 'command post' yang penting, di antaranya:-
Ketua Polis Daerah Mersing (1972 - 1973)
Ketua Polis Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang (1974 - 1977)
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya (1987 - 1988)
Timbalan Komandan Maktab Pegawai Kanan Polis, Kuala Kubu Bahru (1984 - 1986)
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (1988 - 1990)
Pesuruhjaya Polis Sabah (1994)
Ketua Polis Kedah (1996 - 1997)
Ketua Polis Kuala Lumpur (1997-1998)
Ketua Pengarah Agensi dadah Kebangsaan (1998 - 1999)
Pengarah Pengurusan (1999 - 2002)
Timbalan Ketua Polis Negara (2002 - 2003)
Sebagai seorang pegawai kanan yang berpengalaman, beliau juga memiliki segala ilmu yang mencukupi bagi memikul tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Negara. Beliau telah mengikuti kursus-kursus penting seperti 'Hostage Negotiation Technic', 'Terrorism' dan Airport Security Management.
Seperti kesemua Ketua Polis Negara sebelum ini, beliau juga merupakan lepasan Royal College of Defence Studies, United Kingdom.

..........................................................................................................................................................................
Sukarelawan Polis

Sukarelawan polis merupakan satu cara yang baik bagaimana masyarakat mengambil bahagian dalam penguatkuasaan undang-undang serta memastikan keamanan dan keselamatan harta dan nyawa kawasan setempat. Ia bukan sahaja memberi ruang bagi mengeratkan hubungan di antara polis dan masyarakat malahan masyarakat akan turut menjiwai kehidupan sebagai seorang anggota polis.

Kekosongan biasanya akan dihebahkan melalui akhbar tempatan atau media elektronik. Pengambilan akan dibuat oleh kontinjen-kontinjen apabila terdapat keperluan di daerah-daerah dibawah kontinjen berkenaan.

ELAUN
Elaun Kehadiran Latihan Tempatan
* Tuntutan elaun tidak melebihi 48 jam sebulan
Pegawai: RM4.35 sejam
Lain-Lain Pangkat: RM3.00 sejam
Elaun Pakaian (Pegawai sahaja)
Elaun Pakaian Seragam (sekali sepanjang perkhidmatan): RM300.00
Elaun Penyelenggaraan Pakaian Seragam (setiap tahun dibayar mulai tahun kedua) RM125.00
Elaun Pakaian Istiadat (5 tahun sekali) RM750.00
SYARAT PERMOHONAN
Bagi menyertai pasukan ini, seseorang pemohon itu perlulah memenuhi syarat-syarat berikut :-
Taraf Kewarganegaraan
Warganegara Malaysia
Umur
Tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 40 tahun
Ukuran badan
Lelaki - Tinggi 162cm (5' 4"). Lilitan dada 81cm/86cm (32"/34"). Berat badan 48kg.
Wanita - Tinggi 152cm (5'). Berat badan 43kg
Penglihatan & Pendengaran
Mempunyai penglihatan biasa dan pendengaran yang baik
Kelulusan Akademik
Sekurang-kurangnya lulus SRP/LCE Pangkat A/B atau Pangkat C bagi tahun 1969 dan sebelumnya atau setaraf dengannya (salinan sijil hendaklah disertakan)
Lain-lain kelayakan
Mempunyai pekerjaan tetap
Mendapat kebenaran Ketua Jabatan/Majikan untuk masuk berkhidmat
Bermastautin di dalam lingkungan 18km dari balai polis daerah yang dipohon
Bersih dari sebarang rekod Jenayah/Cawangan Khas
Tidak menjadi ahli/anggota lain-lain badan beruniform yang boleh dikerah tenaga di dalam keadaan darurat
Pekerja-pekerja dari kumpulan 'key personnel' seperti hospital, TNB, Telekom, pengawal keselamatan (Badan Berkanun/Kerajaan/Swasta) tidak layak memohon


Cara Memohon
Semua permohonan hendaklah melalui borang khas yang boleh didapati dari balai polis daerah.
Pemohon hendaklah mendapat kebenaran daripada Ketua Jabatan/Majikan.
Borang permohonan hendaklah dihantar kepada Ketua Polis Negeri berkenaan (U/P: Komandan Sukarelawan Polis).

.........................................................................................................................................................................
Struktur Pangkat

Polis DiRaja Malaysia mempunyai 16 peringkat pangkat yang dibahagikan kepada 2 kategori, iaitu kumpulan Pegawai Kanan Polis bermula dari pangkat Inspektor sehingga Inspektor General Polis, dan Kumpulan Pegawai Rendah Polis Dan Konstabel.

Kumpulan Pegawai Kanan Polis terbahagi kepada 2 kelompok di mana pegawai berpangkat Asisten Superintendan Polis ke atas diklasifikasikan sebagai Pegawai Polis Diwartakan manakala Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan Cif Inspektor pula dikenali sebagai Pegawai Polis Tidak Diwartakan. Selain itu, Pegawai Kanan Polis juga boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan utama, iaitu Kumpulan Komisioner (ACP - IGP), Kumpulan Superintendan (ASP - SUPT) dan Kumpulan Inspektor (INSP - C/INSP).

Peringkat Pegawai Rendah Polis dan Konstabel pula bermula dari pangkat Konstabel sehinggalah ke pangkat Sub-Inspektor. Pangkat Korperal sehinggalah ke pangkat Sub-Inspektor juga dikenali sebagai Pegawai Subordinat.

Berikut adalah senarai istilah pangkat-pangkat yang terdapat dalam PDRM :-


Pegawai-Pegawai Kanan Polis
Inspektor General Polis (IG)
Deputi Inspektor General Polis (DIG)
Komissioner Polis (CP)
Deputi Komisioner Polis (DCP)
Senior Asistan Komisioner I (SAC I)
Senior Asistan Komisioner II (SAC II)
Asistan Komisioner Polis (ACP)
Superintandan Polis (SUPT.)
Deputi Superintendan Polis (DSP)
Asistan Superintendan Polis (ASP)
Cif Inspektor (C/INSP)
Inspektor (INSP)
Inspektor Percubaan (P/I)


Pegawai Rendah Polis
Sub-Inspektor (SI)
Sarjan Mejar (SM)
Sarjan (SJN)
Koperal (KPL)
Lans Koperal (L/KPL)
Konstabel (KONST)

..........................................................................................................................................................................
Saman Polis Trafik

S: Bolehkah saya menyemak saman secara on-line?J: Anda boleh menyemak saman secara on-line dengan melayari laman web Polis Diraja Malaysia diruangan 'Semakan Saman & Bayaran Kompaun Trafik'. Selain itu, pengguna-pengguna TMTouch boleh menyemak saman melalui sistem SMS.

S: Apabila menerima saman, apa yang mesti saya lakukan?J: Anda boleh melakukan perkara-perkara berikut :-
Membayar kompaun mengikut kadar yang ditawarkan
Membuat rayuan pengurangan kadar bayaran kompaun
Hadir di mahkamah menurut tarikh yang ditetapkan
S: Di manakah saman boleh dijelaskan?J: Saman boleh dijelaskan di mana-mana Ibu Pejabat Polis Daerah.
S: Bagaimanakah caranya saya memohon pengurangan kadar bayaran saman?J: Permohonan untuk pengurang kadar bayaran saman boleh dibuat kepada Pegawai Kompaun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di mana saman itu dikeluarkan. Jumlah yang perlu dibayar adalah bergantung kepada budibicara pegawai kompaun tersebut dan alasan kukuh permohonan rayuan. Untuk makluman, kadar bayaran yang ditawarkan sebenarnya memang telah dikurangkan dari kadar asal (maksimum RM300.00).

S: Saya telah membuat repot polis tentang kehilangan kenderaan saya. Selepas suatu tempoh, saya telah membuat repot penemuan kenderaan tersebut. Saya telah menerima kenderaan tersebut dari pihak polis berserta surat penyerahan. Bolehkah saya memperbaharui cukai jalan kenderaan saya?J: Ya. Anda boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan anda. Apabila repot kehilangan kenderaan dibuat, pihak polis akan memasukkan butir kenderaan anda ke dalam suatu sistem komputer secara on-line dengan pihak JPJ. Secara automatik, kenderaan akan disenaraihitamkan dan pemilik kenderaan tidak boleh memperbaharui cukai jalan. Apabila repot penemuan dibuat, pihak polis atau pemilik sebenar kenderaan akan membuat repot penemuan. Surat penyerahan kenderaan akan dikeluarkan kepada pemilik dan kenderaan akan dikeluarkan dari senarai hitam.

..........................................................................................................................................................................
Carta Aliran
Repot Polis
Repot Kemalangan Jalanraya

Mengikut Seksyen 107 Kanun Prosedur Jenayah, apabila pengaduan atau repot dibuat kepada seorang Ketua Polis Balai (KPB) berkenaan kejadian sesuatu kesalahan, KPB itu atau pun pegawai polis lain di bawah arahannya hendaklah menulis maklumat itu dan setelah menulis hendaklah dibaca semula kepada pengadu. Setiap pengaduan hendaklah ditulis dalam buku laporan yang disimpan oleh KPB dan hendaklah ditulis tarikh dan waktu aduan dibuat, samada diberi dengan tulisan atau percakapan. Setelah menulis pengaduan itu dikehendaki ditandatangan oleh pemberinya atau pengadu.

Bagaimana?
Pengaduan boleh dibuat melalui dua cara, iaitu :
Pengaduan boleh dibuat secara lisan dan ditulis oleh anggota polis yang menerima pengaduan.
Pengadu menulis sendiri aduannya dalam borang Pol. 55
Pengaduan boleh dibuat di mana-mana balai polis, walaupun kejadian berlaku diluar kawasan balai berkenaan (termasuk kes Trafik).

Menulis sendiri repot
Borang Pol. 55 boleh didapati secara percuma daripada anggota polis yang bertugas di pejabat atau kaunter pertanyaan di mana-mana balai. Setiap pengaduan hendaklah ditulis dengan menggunakan pen dakwat, supaya tidak boleh dipadam, dengan mengambil kira perkara-perkara berikut :
Tulis nama(seperti dalam ka pengenalan) dengan betul.
Tulis nombor kad pengenalan selepas nama anda.
Isikan butir-butir lain dalam borang berkenaan iaitu jantina,umur, keturunan,bahasa, pekerjaan dan tempat tinggal (nombor telefon jika ada)
Gunakan bahasa yang mudah dan tepat semasa menulis laporan.
Tulis dengan terang, jelas dan boleh dibaca.
Tandatangani pengaduan yang ditulis.
Tulis pengaduan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Ingggeris sahaja (pengaduan dalam bahasa-bahasa lain tidak dibenarkan).
Pengadu berhak mendapat salinan pengaduan yang disahkan oleh Ketua Polis Daerah dengan bayaran minima sebanyak RM2.00.

Fakta-fakta diperlukan dalam repot
Sesuatu pengaduan hendaklah padat dan lengkap. Di antara fakta-fakta penting yang diperlukan ialah:
Apa - Kes/kejadian yang hendak dilaporkan (misalnya kecurian, pembunuhan dan sebagainya).
Bila - Nyatakan tarikh dan masa berlakunya kejadian itu.
Di mana - Nyatakan tempat/lokasi berlakunya kejadian. Nama bandar, kampung, jalan dan nombor rumah.
Siapa - Nyatakan butir-butir orang terlibat atau disyaki sekiranya ada saksi yang melihat dan sebagainya. Adakah mereka dikenali atau tidak.
Bagaimana - Nyatakan cara atau bagaimana kes itu berlaku/cara jenayah itu dilakukan. Misalnya bagaimana cara pencuri memasuki rumah.
Akibat - Kerosakan, kerugian, kecederaan yang dialami (anggaran harga/kos).

Cara membuat repot kemalangan jalanraya
Pengaduan kemalangan jalan raya merangkumi tiga peringkat atau proses. Peringkat I merupakan peringkat di mana pihak-pihak yang terlibat dalam kemalangan tersebut tampil membuat pengaduan polis. Peringkat II melibatkan siasatan pihak polis terhadap pihak-pihak terlibat serta pemeriksaan terhadap kenderaan. Peringkat III merupakan peringkat penyediaan dokumen-dokumen siasatan.

PERINGKAT 1
Mengikut peruntukan seksyen 52 Akta Pergankutan Jalan Raya 1987, setiap kecelakaan jalan raya hendaklah dilaporkan kepada polis. Pihak yang terlibat hendaklah pergi ke balai polis untuk membuat pengaduan samada dengan menulis sendiri atau melalui anggota polis yang bertugas di Pejabat Pertanyaan. Selain itu, pihak yang terlibat boleh menghubungi balai polis melalui telefon mengenai kecelakaan yang berlaku dan anggota polis yang bertugas mencatatkan segala maklumat yang diberikan. Dalam pengaduan tersebut, pihak yang terlibat hendaklah menuliskan senario kejadian yang berlaku pada sekeping kertas dan menyerahkan sendiri di balai polis untuk dijadikan laporan polis.

Maklumat-maklumat yang perlu diambil kira semasa membuat pengaduan polis adalah seperti berikut :
Tarikh, masa dan tempat kejadian (tanda-tanda nyata atau "landmark" boleh digunakan bagi menggambarkan tempat kejadian).
Pihak-pihak yang terlibat (catatkan nombor pendaftaran, jenis dan warna kenderaan).
Kenderaan, mangsa yang terlibat (termasuk kematian) dan kerosakan kenderaan atau harta awam.
Maklumat-maklumat yang diperolehi hasil pengamatan kelima-lima pacaindera pengadu sebelum, semasa dan selepas kejadian. (Jangan sama sekali membuat andaian).

PERINGKAT II
Setelah laporan dibuat pengadu akan dirujuk kepada pegawai penyiasat kes trafik. Siasatan awal dilakukan dengan merakam percakapan, pengecam tempat kejadian, pemeriksaan teliti kenderaan yang terlibat dan mengklasifikasikan kes mengikut undang-undang. Klasifikasi kes bergantung kepada keterangan fakta dan data-data yang dikumpul semasa siasatan.

"Refer to Insurance"
Bagi kes kenderaan kecil, tidak melibatkan kematian atau kecederaan serta kerosakan kecil ke atas kenderaan yang terlibat, pegawai penyiasat berpendapat siasatan lanjut tidak perlu, maka kes tersebut diklasifikasikan sebagai "RTI - Refer To Insurance" dan pengadu boleh membuat tuntutan sivil.

Siasatan lanjut - kertas siasatan dibuka
Bagi kes kecelakan yang serius, siasatan terperinci akan dilakukan dan kertas siasatan akan dibuka. Setelah segala keterangan serta data-data kecederaan tersebut diperolehi, pihak yang bersalah akan ditetapkan untuk didakwa.

Mengkompaun kesalahan
Bagi kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun, satu notis saman akan dikeluarkan ke atas pesalah yang terlibat. Bayaran kompaun boleh dibuat dikaunter Trafik C.O.P.S - Compound On Line Payment System.

Hadir Mahkamah
Jika tidak membayar kompaun, pesalah hendaklah hadir di mahkamah pada tarikh yang dinyatakan dalam notis saman.

Nota: Mengikut Seksyen 104 Akta Pengangkutan Jalan 1987 setiap kes kemalangan jalan raya samada serius atau tidak, adalah menjadi tanggungjawab pengadu untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada syarikat insurannya bagi membolehkan suatu tuntutan di buat di bawah sesuatu polisi.

PERINGKAT III
Salinan pengaduan boleh dibeli pada kadar yang ditetapkan sejurus pengaduan dibuat atau tidak lewat daripada tiga (3) hari dari tarikh pengaduan. Bagi dokumen-dokumen lain siasatan seperti gambar, rajah kasar dan salinan rakaman percakapan, pembekalannya bergantung kepada status siasatan dan bantuan logistik. Sebarang pertanyaan boleh dibuat kepada daerah polis di mana siasatan kes itu dijalankan.

Contoh repot kes jenayah
Pada 1.1.2000, jam 12 tengah malam, tiga orang yang tidak saya kenali telah menyerbu ke dalam rumah saya menerusi pintu hadapan. Mereka menutup muka dengan stokin wanita. Salah seorang bersenjata seperti pistol sementara yang dua orang lagi bersenjata pisau. Mereka merompak harta benda saya iaitu sebuah kamera, tiga rantai emas dan wang tunai berjumlah RM10,000. Merka juga melarikan kereta saya jenis KIA nombor pendaftaran CUR 54 berwarna biru. Saya tidak dapat mengecam mereka. Sebaik sahaja kejadian itu saya membuat aduan kepada balai polis.

Contoh repot kemalangan jalanraya
Pada 2.2.2000, Jam 3.00 petang ketika saya sedang memandu kereta saya Protn Putra warna merah nombor pendaftaran MAL 2345 di Jalan Merdeka, Kuala Lumpur, sebuah kereta jenis Toyota warna hijau nombor pendaftaran AB 7378 yang datang daripada depan secara tiba-tiba memotong sebuah kereta lain, telah melanggar kereta saya daripada hadapan. Kereta saya megalami kerosakan dan saya turut tercedera dibahagian kepala. Inilah pengaduan saya.
.........................................................................................................................................................................




Ini ialah kertas report polis Posted by Hello

Dato' Seri Mohd. Bakri Hj. Omar, Ketua Polis Negara yang menggantikan Tan Sri Norian Mai yang bersara hari ini, 5 November 2003.  Posted by Hello